Suatu petang, Zul bergegas ke rumah selepas dipanggil ibunya. Dia baru sahaja selesai bermain bersama kawan-kawannya di padang permainan tidak jauh dari rumah. Zul berusia 5 tahun. Seperti budak-budak lain, Zul seorang yang agak nakal dan pandai berkata-kata. Dia selalu melawan cakap ibunya. Akan tetapi, berbeza pada waktu itu. Zul hanya mendiamkan diri dan terus menuju ke bilik mandi.
Zul bukannya merajuk, tetapi dia ada rancangannya sendiri. Pada malam itu, ayahnya ingin membawa Zul ke surau kerana ada ceramah akan diadakan pada malam itu. Itu kali pertama Zul teringin untuk pergi mendengar ceramah. Sebelum ini, bukan hanya ceramah, malah khutbah jumaat juga dia tak mahu nak dengar. Katanya, tok khatib membebel atas mimbar dan tukang ceramah buat gosip dalam surau.
“Abang, ubat apa yang abang bagi kat anak kita tu? Semangat semacam je saya tengok dia” kata isteri pak Hamdan, Mak cik Aqilah. Pak Hamdan hanya tersenyum di hadapan isterinya yang tercinta itu. “Abang tak bagi apa-apalah kat dia, malam nie ustaz Sarbini nak bagi ceramah tentang hantu. Sebab tu dia semangat tu” jelas pak Hamdan. Kalau anda rasa pelik dengan dialog pak Hamdan, sbenarnya saya lagi pelik. Biar saya jelaskan, Zul sebenarnya minat dengan cerita-cerita hantu. Itulah kelainannya berbanding dengan budak lain yang takut sangat kat hantu atau perkataan lain yang sinonim dengannya iaitu ‘mombok’.
Selepas bersiap, Zul menaiki basikal bersama ayahnya ke surau. Dengan memakai baju melayu putih, siap bersamping lagi, Zul bernyanyi-nyanyi dalam perjalanan untuk ke surau. Jarak surau dengan rumah mereka agak jauh sedikit. Pak Hamdan melalui jalan pintas untuk sampai ke masjid.
Dalam keadaan yang gelap, Zul membantu ayahnya menyuluh lampu picit. “Ayah, lampu nie kecik sangat lah, kenapa tak bawah lampu tadi je ayah? Kan terang” kata Zul.
“Ish budak nie, tak kan kau nak bawak lampu kereta tu. Lampu tu guna bateri motor lah” balas ayahnya. Sebelum berangkat ke surau tadi, Zul sempat mengambil sebuah lampu neon kereta ayahnya yang tidak digunakan lagi. Namun, ayahnya melarangnya untuk membawa lampu itu.
Setelah sampai ke surau, pak Hamdan meletakkan basikalnya di tepi tiang surau. Sementara menunggu wakytu Isyak, Pak Hamdan sempat berbual dengan ustaz Sarbini di luar surau. Zul pula sibuk berjumpa kawan sekampungnya.
“Oi..Din, kau tau tak? Malam nie ada ceramah. Ustaz tu yang bagi ceramah” kata Zul sambil menunjuk ke arah ustaz Sarbini. “Ye ke?? Aku tak tau pun? Ceramah tentang apa? Ade tentang cerite ultraman tak?” balas Din.
“Entahlah? Ayah aku cakap dia ceramah tentang hantu malam nie. Mungkin ade ultraman kot. Hantu tu kan raksasa” kata Zul. Azan Isyak berkumandang memecah keheningan malam. Semua jemaah masuk ke dalam surau. Selepas selesai mengerjakan solat Isyak, pihak AJK surau menjemput ustaz Sarbini untuk menyampaikan ceramah beliau.
“Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...pada malam ini saya akan menyampaikan ceramah saya mengenai alam iblis, jin dan manusia. Saya harap, semua para jemaah jangan rasa takut atau gementar sepanjang saya beri ceramah nie. Kalau ada sesiapa nak pergi ke tandas, dipersilakan kerana tandas tidak jauh..” gurau Ustaz Sarbini.
Zul dan Din duduk di saf hadapan sekali betul-betul berhadapan dengan ustaz Sarbini. Pak Hamdan pula duduk di tepi pintu surau. “Emm...ustaz, nak soal boleh?” tanya Din sambil menepuk paha ustaz Sarbini. Ustaz Sarbini mengangguk.
“Jin dan syaitan tu ultraman yang mana satu? Tak pernah dengar pun dalam tv?” tanya Din. Zul menepuk dahinya. Semua para jemaah ketawa perlahan setelah mendengar pertanyaan Din. Lalu ustaz Sarbini menjelaskan. “Jin dan Syaitan tu bukan ultraman. Mereka tu adalah makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tak pe, biar ustaz cerita dahulu ye” jelas ustaz Sarbini.
“Pernah diceritakan bahawa syaitan itu sebenarnya penghuni syurga. Kedudukannya tinggi melebihi malaikat yang ada di dalam syurga. Syaitan pada ketika itu mempunyai sayap yang sangat indah dan cantik. Tidak dapat digambarkan. Ketika Allah SWT menciptakan Adam a.s iaitu moyang kita, semua penghuni syurga sujud kepadanya kecuali syaitan. Lalu Allah SWT bertanya kepada syaitan, kenapa tidak sujud pada Adam? Lalu syaitan menjawab, buat apa aku nak sujud di hadapan seorang manusia yang dijadikan daripada tanah? Sedangkan aku dijadikan daripada api yang membara. Kata syaitan dengan sombong. Allah memaksa mereka sujud namun syaitan masih enggan mengikuti perintahNya. Lalu, syaitan dibuang dari syurga. Sayapnya yang indah itu hilang. Wajahnya berubah menjadi hodoh. Begitulah riwayat hidup syaitan yang pada mulanya sebagai penghuni syurga. Sekarang, kita selalu melihat dan mendengar tentang gangguan-gangguan syaitan. Menurut mereka, wajah syaitan itu hodoh, sangat menyeramkan dan menakutkan. Ada pula yang selalu mendidik anak dengan cara untuk menakut-nakutkan mereka. Menyatakan bahawa ada mombok atau hantu. Tetapi, sebenarnya hantu dan mombok itu adalah dikalangan syaitan dan iblis laknatullah. Tujuan mereka hanya satu, menyesatkan cucu Adam. Cuba ingat kembali, kepada siapa yang harus kita takuti? Hantu atau Allah? Kalau hantu, kita takut terus lari. Kadang-kadang, sampai terkencing pun ada. Kalau Allah? Allah SWT telah menjadikan neraka untuk tempat syaitan dan manusia yang mengikuti tindak-tanduk syaitan. Kenapa kita tidak takut dengan Allah? nerakaNya? Fikirkan sejenak. Sekarang, kita jangan takut dengan hantu atau iblis lagi. Takutlah dengan balasan neraka Allah adalah sebaik-baiknya” jelas ustaz Sarbini.
Din dan Zul terdiam di hadapan ustaz Sarbini. Mereka sangat fokus ketika ustaz menyampaikan ceramah beliau. “Ustaz, kalau hantu tu datang kacau kita? Panggil ultraman ke?” tanya din lagi. Dalam fikiran ustaz Sarbini, “Banyak terpengaruh tv budak nie”
“Ultraman tak dapat nak halau hantu tu. Adik perlu kuatkan iman. Ingat Allah. Insya-Allah, hantu tak akan datang lagi” balas Ustaz Sarbini.
Selepas selesai ceramah, semua jemaah bersalaman sesama sendiri. Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. “Ayah, zul mengantuk nie...kita balik..” kata Zul sambil menarik baju ayahnya. Semasa dala perjalanan balik, tiba-tiba Pak Hamdan ternampak sesuatu sedang berdiri di tepi pokok tidak jauh dari tempatnya berhenti.
“Ya Allah, tak kan time time macam nie diaorang muncul pulak” kata Pak Hamdan dalam hati. Bayangan yang dilihat Pak Hamdan adalah seperti seorang perempuan berpakaian putih sedang berdiri di tepi pokok. Rambutnya sangat panjang dan sangat jelas kelihatan di mata Pak Hamdan. Zul pada ketika itu sedang tidur.
“Eyh? Ayah...kenapa berhenti nie? Minyak habis ke?” tanya Zul. “Ish budak nie, kita guna basikal laa, bukan kereta!” balas Pak Hamdan. Zul mengangkat kepalanya lalu memandang ke tempat yang dilihat Pak Hamdan. “Ish ish ish, ayah nie...tak baik tau. Jaga pandangan ayah tu. Ayah kan dah kahwin, jangan pandang kat perempuan lain pulak” kata Zul lalu turun dari basikal. Pak Hamdan cuba untuk menghalang anaknya itu akan tetapi perasaan takutnya membuatkan dia hanya terkaku.
Zul berjalan menuju ke tempat bayangan perempuan berbaju putih itu berdiri. “ Assalamualaikum...!!! pesal kakak berdiri sorang-sorang kat sini? Sesat ke?? Mungkin sebab kampung nie takde papan tanda. Kasihan tengok kakak. Rumah kakak mana? Nanti ayah boleh hantarkan” kata Zul yang kelihatan lansung tidak takut.
“Alamak, ape budak nie buat...” bisik Pak Hamdan. Zul masih berdiri di hadapan bayangan hantu itu. “Emm...kalau kakak tak sudi, tak pe la...kakak jalan kaki sendiri laa balik rumah.,.ye?? lagipun..kalau mama nampak ayah hantar kakak nanti, tentu mama merajuk. Mama saya tu sensitif tau. Baiklah kakak, saya balik dulu. Assalamualaikum!! Jaga diri baik-baik ye! Jumpe lagi” kata Zul lalu berjalan semula ke arah ayahnya.
“Baiklah ayah, kita balik sekarang. Mengantuk laa...” kata Zul. Pak Hamdan hanya mendiamkan diri lalu mula menggerakkan basikalnya. Semasa melintasi hantu perempuan itu, kayuhan basikal Pak Hamdan semakin laju.
Di rumah, Pak Hamdan menceritakan penemuannya dengan pontianak yang dikatakan sering muncul di kampung mereka. Itu pertama kali Pak Hamdan menjumpainya dengan mata kasar. Selalunya, dia hanya mendengar daripada mulut kawan-kawannya. “Betul, Demi Allah...Zul sendiri yang cakap dengan pontianak tu” kata Pak Hamdan. Mak cik Aqilah tidak mempercayainya.
“Zul, kamu tak takut ke kat pontianak tu?” tanya Pak Hamdan. “Alaa ayah...buat apa nak takut, kan ustaz pernah cakap tadi, kita tak perlu takut kat hantu. Bagi zul, kalau tak perlu takut kat hantu, ertinya kita bolehlah berkawan dengan hantu kan??” tanya Zul. Pak Hamdan pengsan sekelip mata.