KU MENYEDARI..
Haikal termenung sendirian di beranda rumahnya, angin yang bertiup membuatkan fikirannya terasa segar. Dia melihat daun berguguran di baranda tersebut. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
Haikal berlari menuju ke pintu rumah setelah mendengar bunyi pintu rumahnya diketuk. Rupa-rupanya ayah dan ibu yang balik. Haikal menanti kedua ibu bapanya sejak pulang dari sekolah dari petang tadi lagi. Namun, Haikal terkejut melihat ayah dan ibunya.
Beberapa minit kemudian, datang orang gaji bernama Mak Cik Timah setelah dipanggil oleh ibu Haikal. “Tuan dan Puan baru balik? Ini bau arak. Tak kan lah….” Kata Mak Cik Timah.
“Sudah, jangan kamu nak membebel banyak lagi Timah, bawa beg saya ke atas. Tolong bawa juga dua gelas air sejuk nanti ya” kata ayah Haikal.
“Tuan tak solat dulu ke? Dah masuk isyak nie” tambah Mak cik Timah.
“Oh..tak..saya letih dan tak boleh solat. Esok je lah. Saya masih muda” balas ayah Haikal.
Haikal hanya membisu. Bukan kerana dia tidak memahami, tetapi dia masih kecil. Tiap-tiap hari Haikal melihat gelagat ayah dan ibunya yang selalu mabuk dan balik lewat. Kadang-kadang, Haikal menangis seorang diri tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Haikal, dah lewat ni. Mari mak cik temankan Haikal masuk bilik” kata mak cik Timah. Hanya mak cik Timah sahaja menjadi teman Haikal. Mak Cik Timah lah yang menjaga Haikal dari kecil hingga sekarang. Sejak ibu Haikal dinaikkan pangkat, dia jarang melayani anaknya walaupun hanya mempunyai seorang anak.
“Mak cik Timah, kenapa ayah dan ibu tiap-tiap hari tak layan Haikal? Haikal ade buat salah ke?” tanya Haikal.
“Haikal tak salah apa-apa pun. Haikal tidur je lah, esok kan bangun awal.” Jawab mak cik Timah.
Pada pagi keesokan harinya, Haikal tersedar daripada mimpinya. Tiba-tiba, dia terlihat mak cik Timah berbaju putih dan menutupi seluruh anggota badannya kecuali muka. Kemudian, Haikal pun menjerit.
“Hantu!” jerit Haikal.
Mak cik Timah yang masih lagi solat subuh itu terpaksa memberhentikan solatnya kerana terdengar Haikal menjerit.
“Mak cik Timah jadi hantu bungkus!” jerit Haikal lagi.
Beberapa minit kemudian, ibu dan ayah Haikal masuk ke dalam bilik Mak Cik Timah.
“Apa yang Haikal jerit pagi-pagi buta ni?” tanya ibu.
“Maafkan saya puan, saya tengah solat tadi. Tiba-tiba Haikal menjerit apabila terlihat saya memakai talkung.” Kata mak cik Timah.
Disebabkan kejadian itu, Haikal demam panas tanpa disengajakan. Mak cik Timah ketawa sendirian sambil menceritakan perkara sebenar kepada Haikal.
“Kenapa Haikal terkejut sampai demam pulak ni? Mak cik solat je. Bukan mak cik nak jadi hantu bungkus.” Kata mak cik Timah.
“Habis tu, kenapa mak cik pakai macam hantu bungkus kalau nak solat?” balas Haikal. Mak cik Timah menyedari, selama ini ayah dan ibu Haikal tidak pernah menghantar anak mereka bersekolah di sekolah agama. Malah, ibu dan ayah nya juga tidak pernah mengajarnya tentang ilmu-ilmu agama.
Sejak kejadian itu, mak cik Timah mula mengajar Haikal sedikit tentang ilmu-ilmu agama.
SURATAN TAKDIR
Haikal tersedar daripada lamunannya. dia ketawa sinis setelah teringat kisah silamnya. Kemudian, dia terlihat seekor burung hinggap di sebatang dahan berhampiran beranda tempatnya berdiri. Dia memerhati burung tersebut.
Hari itu merupakan hari tahun baru. Ayah dan ibu sibuk membeli barangan di pasar raya. “ Nak buat ape barang-barang ni ayah?” tanya Haikal.
“Ini untuk parti malam ni. Kan malam ni malam tahun baru. Ramai kawan ayah dan ibu datang nanti” kata ayah.
Haikal melihat troli yang ditolaknya itu penuh dengan botol-botol arak seperti yang diceritakan oleh mak cik Timah. “ Arak itu najis, kita sebagai umat Islam haram meminumnya” kata-kata mak cik Timah masih segar di dalam ingatan Haikal.
Pada malam harinya, mak cik Timah dan ibu sibuk menyediakan makanan di dapur, manakala ayah sedang menonton televisyen di ruang tamu. Masing-masing dengan tugas sendiri, Haikal kebosanan. Dia menuju ke bilik mak cik Timah.
Dia melihat rak buku kepunyaan Mak Cik Timah. Dia terlihat sebuah buku yang menarik perhatiannya. “Ini tulisan jawi, tapi aku mana faham tulisan ni” kata Haikal.
Setelah lama Haikal membelek-belek setiap muka surat yang terdapat dalam buku tersebut, dia terdengar suara di ruang tamu. Rupa-rupanya kawan ibu dan ayah yang datang ke rumah. Haikal terus menuju ke ruang tamu dengan penuh gembira.
Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Haikal tertidur di sofa manakala ayah dan ibunya tertidur di permaidani ruang tamu. Mak cik Timah mendukung Haikal dan membawanya ke bilik. Mak cik Timah terpaksa membiarkan ayah dan ibu Haikal di ruang tamu kerana tidak tahan menghidu bau arak.
Pada malam itu, Haikal terjaga daripada tidurnya dan terlihat mak cik Timah sedang solat disebelah katilnya. Haikal tidak menjerit lagi apabila melihat mak cik Timah bersolat. Dia memerhati setiap pergerakan mak cik Timah.
“Kamu nak belajar solat?” tanya mak cik Timah.
“nak..nak!!” balas Haikal dengan penuh gembira.
“Solat itu tiang agama, esok hari mak cik Timah ajarkan” kata mak cik Timah.
Segala ilmu yang telah diajarkan oleh mak cik Timah telah membuka hati Haikal untuk menyambung pelajarannya ke sekolah agama. Dia teringin untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu agama. Bahkan juga dia telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah.
“Kamu nak bersekolah di mana Haikal?” tanya ibunya.
“Kalau boleh, saya nak bersekolah di sekolah agama bu, saya harap ibu dapat menunaikannya” jawab Haikal.
Ibu Haikal terdiam seketika. Timbul sedikit kesedaran dalam diri ibu Haikal kerana selama ini dia tidak pernah mengajar Haikal tentang agama.
“Nanti ibu bincang dengan ayah. Lepas ini ayah dan ibu nak ke pejabat, ada mesyuarat” kata ibu. Haikal hanya mengangguk kerana dia terlalu memahami perangai ibu dan ayahnya. Dia kemudiaannya menuju ke bilik untuk menunaikan solat zohor.
Haikal sedang membaca buku kisah para Nabi di ruang tamu pemberian mak cik Timah. Tiba-tiba telefon berbunyi.
“Haikal, kamu pergi bersiap sekarang. Nanti ayah jemput kamu.” Kata ayah dengan tergesa-gesa.
Haikal berasa hairan. Dia terus bersiap dan menantikan kedatangan ayahnya. Beberapa minit kemudian, ayahnya datang dan menjemputnya.
“Ayah nak pergi mana? Ini kereta siapa?” tanya Haikal.
“Kita pergi hospital, ibu kamu dalam keadaan koma” kata ayah.
Ibu dan ayah Haikal terbabit dalam satu kemalangan. Ayah Haikal tidak mengalami sebarang kecederaan, sebaliknya ibu Haikal yang mengalami kecederaan teruk. Haikal berasa bimbang.
Semasa di dalam bilik ICU, Haikal berada di sisi ibunya. Beberapa minit kemudian, mak cik Timah pun turut datang melawat ibu Haikal.
“Ibu, mengucap bu..” kata Haikal dalam keadaan menangis.
“Puan, ikut kata saya…ashadualla…ila…haillallah..”
Namun, ibu Haikal tidak sempat untuk mengucap dua kalimah syahadah. Dia terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Haikal menangis tanpa henti sambil dipujuk mak cik Timah. Ayah Haikal beredar keluar dari bilik ICU.
Semenjak ketiadaan ibu Haikal, rumah menjadi semakin sunyi. Haikal dan mak cik Timah membaca surah yassin dan tahlil untuk disedekahkan kepada arwah ibu Haikal. Pernah suatu hari, Haikal mengajak ayahnya membaca surah yassin namun ayahnya membuang surah yassin tersebut.
“Sia-sia sahaja baca surah yassin. Ibu kamu tak akan hidup semula! Tak ada faedahnya!” kata ayah dengan penuh rasa kehilangan.
Haikal hanya mampu mengucap panjang. Dia tidak berani melawan kata ayahnya dan mengambil semula surah yassin tersebut.
Sejak ketiadaan ibu, perangai ayah semakin menjadi-jadi. Dia mula ponteng kerja dan membeli banyak botol arak. Bahkan juga tiap-tiap hari menyalahkan mak cik Timah kerana mengajar Haikal ilmu agama.
Haikal sedih melihat keadaan ayahnya. Terdetik di hatinya untuk lari dari rumah. Sehinggalah pada suatu hari, ayah Haikal pulang lewat ke rumah. Mak cik Timah kepenatan menunggu kepulangan ayah Haikal.
“Mak cik tidur je lah, biar Haikal yang tunggu ayah.” Kata Haikal.
Beberapa jam kemudian, ayah Haikal pulang ke rumah. Tetapi, dia bukan berseorangan. Haikat melihat ayahnya membawa seorang wanita. Setelah masuk ke dalam rumah, Haikal melihat wanita tersebut berpakaian menjolok mata. Dengan segera Haikal mengucap di dalam hati dan mengalihkan pandangannya.
“Haikal, malam ni kamu jangan ganggu ayah. Ayah hendak berseronok malam ni” kata ayah Haikal dalam keadaan mabuk. Botol arak masih dipegangnya.
SATU PERTUNJUK
Haikal mula menitiskan air mata setelah melihat burung tersebut. Dia merindui ibunya walaupun sudah sekian lama berpisah. Tidak jauh dari burung tersebut, dia terlihat dua ekor tupai sedang melompat dari satu tempat ke satu tempat. Tupai tersebut menarik perhatian Haikal.
Terdetik di dalam fikiran Haikal untuk lari dari rumah. Dia tidak tahan melihat kelakuan ayahnya. Malah, dia masih belum bersekolah. Ayahnya tidak memperdulikan persekolahan Haikal setelah ketiadaan ibunya.
“Mak cik Timah, Haikal rasa nak lari dari rumah lah” kata Haikal kepada Mak cik Timah.
“Kamu nak lari? Kamu dah tak sayang ayah kamu lagi ke?” tanya mak cik Timah.
“Haikal nak belajar. Sepatutnya waktu ini Haikal menimba ilmu pengetahuan” balas Haikal.
Mak cik Timah terdiam seketika, kemudian dia menuju ke biliknya. Selepas itu, dia datang semula sambil membawa sebuah buku kecil.
“Ini wang simpanan mak cik. Anak-anak mak cik semuanya sudah bekerja. Jadi, Haikal gunakanlah sahaja wang ini” kata mak cik Timah.
Haikal mengalirkan air mata. Dia bersyukur atas pertolongan mak cik Timah. Haikal mengambil wang tersebut dengan hati yang terbuka.
“Anak mak cik seorang guru di sekolah agama. Kalau Haikal masih menyimpan niat untuk bersekolah di sekolah agama, mak cik boleh tolong Haikal” kata mak cik Timah.
Pada keesokan harinya, Haikal sudah bercadang untuk keluar dari rumah tersebut. Dia bercadang untuk keluar pada malam hari selepas ayahnya pulang ke rumah.
“Mak cik tak ikut sama ke?” tanya Haikal.
“Mak cik sudah lama bekerja dengan ayah kamu, mak cik tak sampai hati untuk meninggalkan kerja mak cik kecualilah kalau ayah kamu memecat mak cik” jelas mak cik Timah.
Selepas ayah pulang ke rumah, Haikal terlihat ayahnya membawa seorang wanita. Nampaknya, ayah Haikal masih belum insaf lagi. Selepas ayahnya masuk ke bilik, Haikal bersiap untuk keluar dari rumahnya.
“Anak mak cik akan tunggu kamu di masjid pada subuh esok” kata mak cik Timah.
Haikal terasa berat hati untuk meninggalkan mak cik Timah. Ini kerana mak cik Timah ibarat ibu kandungnya sendiri dan telah banyak mengajarnya. Selepas bersalaman dengan mak cik Timah, Haikal bergerak keluar dari rumah.
“Doakan kejayaan saya mak cik, assalamualaikum” kata Haikal lalu beredar dari situ.
Dalam perjalanan dengan menunggang basikal, hati Haikal terasa tenang. Dia berharap agar ayahnya bertaubat selepas pemergiannya.
Setibanya di masjid, Haikal terus mengambil wudhuk dan masuk ke dalam masjid. Inilah kali pertama Haikal menjejakkan kakinya ke dalam masjid. Dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke masjid walaupun untuk menunaikan solat jumaat mahupun solat hari raya.
Di dalam masjid yang sunyi sepi dan tenang itu, dia melepaskan segala kesedihannya. Sepanjang malam tersebut Haikal berdoa bersendirian. Akhirnya dia terlelap.
“Adik..adik…bangun..”
Haikal terjaga daripada tidurnya. Kini, dia bukan lagi melihat mak cik Timah, tetapi melihat ramai lelaki berkopiah sedang menunaikan solat.
“Adik, mari sama-sama tunaikan solat subuh” kata seorang lelaki yang membangunkannya tadi.
Haikal bangkit dari tempatnya dan mengambil wudhuk. Selepas solat, dia menceritakan segalanya kepada imam masjid tersebut. Rupa-rupanya, imam tersebut merupakan anak kepada mak cik Timah.
Bermula pada hari itu, hidup Haikal kini di bawah penjagaan Ustaz Sarbini, anak mak Cik Timah.
SEJADAH BUAT AYAH
Beberapa tahun sudah berlalu, Haikal kini mengajar di sebuah sekolah agama. Berkat usahanya mencari ilmu, dia kini bergelar ustaz dan juga pendakwah dalam usia yang sangat muda. Dia bersyukur kerana tidak tersesat dalam perjalanan kehidupannya.
Namun, dia masih merindui ayahnya dan mak cik Timah. Ramai di antara pelajar-palajarnya tidak mempercayai kisah hidup Ustaz Haikal. Pada dasarnya, Haikal malu menceritakan kisah hidupnya. Tetapi untuk dibuat sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajarnya, dia merelakan.
Selepas menunaikan solat Subuh yang diimamkan oleh Haikal, tiba-tiba datang seorang tua menjerit di luar masjid. Haikal masih meneruskan wirid dan doanya.
“Ustaz, ada seorang tua ingin berjumpa ustaz” kata salah seorang daripada pelajarnya.
Sewaktu melangkah keluar, Haikal terkejut melihat orang tua tersebut.
“Aku mendengar bacaan kamu sungguh merdu. Membuatkan aku teringin untuk pergi ke masjid walaupun aku tidak pernah menjejakkan kaki aku ke tempat ini” kata orang tua tersebut.
“Ayah…”kata Haikal.
Orang tua tersebut menggaru-garu kepalanya. Dia berasa hairan. Haikal terkejut melihat keadaan orang tua tersebut. Bajunya koyak rabak, rambutnya kusut masai dan kakinya tidak beralaskan selipar mahupun kasut.
“Ayah…” kata Haikal lagi. Dia yakin bahawa orang tua tersebut ayahnya. Mustahil seorang anak lupa akan wajah ayahnya sendiri.
Haikal terus menuruni tangga dan memeluk orang tua tersebut. Walaupun orang tua tersebut berbau busuk dan arak, namun Haikal memeluknya dengan erat sekali.
Para pelajarnya berasa hairan dan ada yang menangis.
“Kamu…Haikal…”kata orang tua tersebut.
“Haikal…anak ayah…”
Haikal masih tidak melepaskan pelukannya. Dia meminta maaf kepada ayahnya kerana lari dari rumah.
Selepas itu, Haikal menyuruh ayahnya membersihkan dirinya. Kemudian, dia mengajak ayahnya untuk duduk di masjid.
Ayah Haikal bertaubat atas pelbagai kesalahannya. Sudah takdir Tuhan, ayah Haikal bertemu dengan anaknya semula di tempat ibadat. Ayah Haikal dibuang kerja selepas kerap ponteng kerja, rumahnya pula ditarik balik dan terpaksa tidur di kaki lima.
Mak cik Timah pula terpaksa berhenti kerja dan sekarang berada di kampung halamannya. Haikal sedih melihat keadaan ayahnya. Dia bercadang supaya ayahnya tinggal di rumahnya.
“Ayah tinggal dengan Haikal. Rumah Haikal tak lah sebesar rumah kita dulu.” Kata Haikal.
“Maafkan ayah kal…ayah berdosa..ayah banyak buat dosa..” kata ayah Haikal sambil menangis.
Haikal memeluk erat ayahnya. Walaupun sejak kecil dia tidak dapat kasih sayang ibu dan ayah, namun tidak bererti ayahnya tidak boleh mendapat kasih sayang daripada anaknya.
Haikal tersedar daripada lamunannya, dia menyedari sudah masuk waktu asar. Dua ekor tupai yang dilihatnya tadi hilang daripada penglihatannya. Dia tersenyum seketika.
“Haikal, dah asar ni. Mari pergi masjid, anak murid kamu tengah tunggu tu” kata ayah Haikal.
“Baiklah ayah, kejap lagi saya datang” balas Haikal.
Beberapa bulan sudah berlalu, kini hidup Haikal bahagia bersama ayahnya. Dia mengambil satu bungkusan yang terdapat dalam almari bajunya.
“Ayah, ini sejadah untuk ayah. Pemberian mak cik Timah” kata Haikal sambil menghulurkan sejadah yang bewarna biru laut.
“Terima kasih Ustaz Haikal.” Kata ayahnya.
“Cahaya dalam sebuah keluarga itu adalah anak yang soleh dan solehah. Sinarilah keluarga dengan cahaya keimanan. “
Oleh : Awang Mohamad Razizie bin Awang Yusuf/